Cara Kekal Tenang Sepanjang Hari

Selesaikan tugas berat dahulu di awal pagi.

Alhamdulillah pagi ini, Allah beri kesempatan saya siapkan semua kerja-kerja rumah sebelum anak-anak bangun. Saya memang sudah berniat untuk selesaikan sebanyak mungkin urusan rumah tangga sebelum saya masuk soho saya.

Bulan baru, semangat juga baru.

Bangun pagi, selepas suami dah siap gerak ke tempat kerja, saya terus mandi dan solat Subuh. Selesai solat, sempat zikir panjang sedikit dan baca surah Yasin. Waktu pagi sahaja yang lazimnya saya dapat peluang begini, sebab anak masih tidur. Dan saya cuba selesaikan urusan kerohanian saya sebelum jam 7 pagi.

Bermula jam 7 pagi, saya basuh baju dan siapkan sarapan. Saya perlu pastikan saya bersarapan dahulu untuk beri tenaga. Pagi saya banyak kerja fizikal. Jika tidak, saya akan menggigil kelaparan. Cukup sarapan roti, kurma dan air panas.

Kemudian, lebih kurang 7.30 pagi, mula buka semua tingkap bilik. Selain untuk pengudaraan, untuk menjemput rezeki awal pagi. Juga saya suka lihat cahaya matahari pagi masuk ke bilik. Berpagi-pagian.

Saya kemudian teruskan dengan mengemas dapur dan siapkan bahan-bahan memasak. Saya cuba untuk konsisten masak awal pagi untuk makan tengah hari dan malam. Mudah dan dah tak perlu fikir untuk masak banyak kali dalam sehari. Menu hari ini; sup ayam, ayam masak pedas dan bayam goreng. Selesai lauk untuk makan tengah hari dan malam.
Bila anak dah mula bangun, pertama sekali saya bagi sarapan dulu kemudian mandi. Kemudian saya biarkan mereka bergelumang dengan mainan dan buku, saya teruskan perjuangan menarah gunung baju pula.

Sejurus siap, si kecil mahu lelap mata, sudah pasti mahu mengendeng dengan saya. Maka dapatlah saya baring dan rehat sekejap.

Alhamdulillah seronok melihat anak-anak bermain walaupun ada ketika bergaduh juga. Saya rasa lega melihat kain baju sudah siap dibasuh dan disidai. Juga tenang dan aman bila terfikir yang makanan untuk hari ini juga telah tersedia.

Masa yang berbaki hari ini, mahu selesaikan hutang tertunggak, tetapkan target bulan baru, kemas kini akaun, sambung kerja-kerja menulis dan menterjemah.

Semoga dipermudahkan urusan semua ibu yang bekerja di rumah.

Salam sayang,
Hifzaila

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...