Rutin Harian Suri Rumah Dulu-Dulu

Bila balik ke rumah mentua, saya selalu perhatikan rutin harian mak mentua saya dalam menguruskan rumah. Saya sememangnya kagum dengan rumah mentua yang sentiasa bersih dan kemas. Tetamu boleh datang bila-bila masa, tuan rumah tak perlu risau rumah tidak berkemas. Keadaan begini saya kira agak sukar untuk ibu-ibu generasi sekarang, yang mana kalau tetamu nak datang, barulah kelam kabut nak mengemas rumah (saya juga begitu).

Mak mentua saya seorang suri rumah. Menjaga sendiri kesemua 8 anaknya. Dengan latar belakang keluarganya yang juga pengemas, saya tak hairan trait itu diwarisi oleh mak mentua saya. Dan kini saya perhatikan trait tersebut diwarisi oleh suami saya.

Memang beruntung sangat sebab saya bukan jenis orang sebegitu.

Kembali kepada rutin mak, bangun pagi seawal jam 5 atau 5.30 pagi, mak akan terus mandi dan solat Subuh. Kemudian masukkan baju kotor dalam mesin basuh. Sambil menunggu baju dibasuh, mak akan siapkan sarapan abah.

Penting ya siapkan sarapan suami biarpun hanya secawan air. Suami sangat menghargainya.

Abah mentua saya dah bersara daripada pasukan bomba, tapi orang tua yang biasa bekerja, selepas dah bersara pun tetap nak bekerja. Abah jadi pengajar di sekolah memandu. Jadi sebelum abah pergi kerja, mak akan siapkan oat dan ubat kencing manis abah siap-siap. Kadang-kadang mak sediakan bekal, kalau abah minta.

Selepas abah dah gerak ke sekolah memandu, mak akan siram pokok-pokok yang ditanamnya. Mak memang rajin menanam. Biarpun tinggal di rumah teres, tak menghalang mak untuk wujudkan kebun bandar mak sendiri. Sebelum ini, sewaktu tinggal di kuarters juga mak menanam banyak pokok bunga. Kini, mak banyak tanam pokok herba yang sering kita guna di dapur. Antaranya daun pandan, daun kunyit, daun kari, daun kesum, cili padi dan serai. Pokok durian belanda pun mak cuba tanam juga depan rumah.

Selepas selesai menyiram pokok, mak akan menyapu halaman rumah dan di dalam rumah. Kemudian kalau baju dah siap dibasuh, mak akan terus sidai baju pula.

Mak tak boleh tengok baju bertimbun tak berbasuh. Setiap hari mesti kena basuh baju. Dan kalau mak nak ke mana-mana juga hari itu, mak akan pastikan urusan baju selesai dahulu. Mak juga selesa menyidai baju sendiri, mak ada KPI untuk sidai baju, tak boleh sebarang anak atau menantu sidai baju kat rumah mak. Tapi kalau nak tolong sidai tu, boleh saja. Perhati cara mak sidai. Ikut caranya, mak ok saja.

Selepas itu, mak akan berhenti rehat sekejap untuk sarapan. Sambil-sambil mak akan tengok tv, rancangan kegemarannya yang telah direkod sebelumnya. Adik atau anak buah akan tolong rekodkan mana-mana cerita yang mak nak tengok. Ada filem, drama bersiri atau telefilem. Mak hanya akan tengok tv bila kerja dah siap, bila mak dah benar-benar lapang.

Itulah yang beza dengan kita, tengok tv dahulu baru siapkan kerja. Sebab tu kerja tak siap-siap sebab dah terjebak. Dan kita pula, bukan sekadar tv, dengan telefon lagi. Kena betul-betul disiplin untuk bahagikan masa.

Itulah sebahagian rutin harian mak. Selepas selesai urusan sebelah pagi, mak akan teruskan dengan memasak, lipat kain dan lain-lain kemudiannya.

Saya ada juga cuba praktikkan mana yang boleh, tapi masih tak dapat tandingi kecekapan mak siapkan kerja. Mungkin pengalaman mak besarkan anak ramai membuatkan mak sudah terbiasa buat kerja dengan efisien.

Pada saya, banyak yang ibu muda sekarang boleh belajar dengan ibu dulu-dulu. Tambahan pula dengan lebih banyak kemudahan yang ada seperti mesin basuh, pengisar, periuk elektrik dan sebagainya amat membantu menjimatkan masa dan tenaga. Maka kita dapat tumpukan kepada perkara yang lain pula seperti bisnes (kalau yang berbisnes), homeschool anak-anak dan sebagainya.

Salam sayang,
Hifzaila

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...