Nikmat Sihat sebelum Sakit

Teks: Hifzaila Hafni

Kadangkala Allah beri sakit dan ujian untuk kita lebih ingat kepada Dia.

Malam tadi, saya diserang sakit perut yang amat sangat. Memulas-mulas hinggakan baring pun mengerekot menahan sakit. Seksa benar rasanya bila angin dalam badan tak keluar. Bergelora rasa dalam perut.

Masa tu barulah terfikir apa yang dimakan sepanjang siang tadi. Ikan masak pindang (terlebih masam), terung cili (angin dan pedas), buah kedondong 7 biji sederhana. Makan malam pula lewat tadi. Ha! Kombo sangatlah penyebab angin.

Saya sapu sedikit minyak kayu putih di perut. Suami tolong sapu dan urut kaki, tengkuk dan belakang. Alhamdulillah banyak kali juga sendawa. Tapi tak puas rasa macam banyak lagi angin yang belum keluar. Lepas tu cuba minum air suam. Sendawa lagi. Disebabkan terlalu mengantuk, akhirnya tertidur hinggalah sakit perut datang lagi dan memerlukan saya ke tandas. Alhamdulillah lega sedikit setelah berpeluh-peluh nak mengeluarkan segala isi perut. Agaknya sembelit juga tapi saya tak perasan sebab saya jarang kena sembelit.

Apa yang saya nak katakan adalah masa kita sakit mesti kita ingat Allah, zikir dan doa supaya Allah sembuhkan dan jangan biar sakit berpanjangan. Itu baru sedikit ujian sakit yang Allah beri pada saya. Mungkin disebabkan kelalaian dan kecuaian saya yang ada ketikanya saya terlupa adanya Dia - jadi Dia berikan ingatan ini supaya saya sedar. Masa sakit perut datang memulas, saya hanya mampu istighfar. Sesekali terasa lega semasa sakit tersebut reda. Mungkin Allah bagi peringatan begitu, yang mana saya sejak akhir-akhir ini sedikit lalai. Istighfar dan zikir lainnya bukan sekadar selepas solat sahaja bahkan sepanjang masa dalam setiap perbuatan.

Semoga tiada apa yang serius. Nikmat sakit walaupun sedikit tapi hikmahnya besar. Nikmat sihat kadangkala sering lupa disyukuri. Anggaplah ujian sakit sebagai ingatan mesra Allah pada kita untuk lebih dekat kepadaNya selain mengamalkan pemakanan yang baik.

Salam Jumaat!

Hifzaila
Editor di Rumah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...