Hargai dan Hormati Tugas Editor

Teks: Hifzaila Hafni

Amukan editor?

Terpana seketika bila membaca satu status Tuan Zamri Mohamad, trainer kursuspenulisan.com tentang editor. Jika sebelum ini, beliau banyak berkongsi tentang penerbitan buku, menjadi penulis dan kursus penulisan tetapi beberapa hari lepas tentang penghubung antara penulis dengan penerbit iaitu editor.

Boleh baca luahan beliau di SINI.

Saya sebagai editor (biarpun saya editor buku sekolah) amat memahami apa yang Tuan Zamri perkatakan. Betul, tugas editor adakalanya 'mungkin' disalah anggap atau disalah guna oleh penulis. Bukan semua ya. Sebilangannya sahaja.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri yang tidaklah berapa lama sangat ini, saya hampir bersetuju dengan apa yang beliau utarakan.

Benar, editor tugasnya menyunting dan mencantikkan sesuatu karya. Bukan senang tahu, lebih lagi jika manuskrip yang tiba di tangan tidak mengikut spesifikasi yang diberi. Bukan semua penulis mampu mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Disebabkan itu, adakalanya proses penyuntingan menjadi sedikit sukar dan mengambil masa lebih panjang.

Semasa bekerja pejabat dahulu, saya pernah terima manuskrip yang pada saya paling sukar saya kendalikan sepanjang karier saya. Penulisnya memang terkenal dan dikenali. Sudah banyak menulis buku tetapi langsung tidak sangka gaya dan hasil kerjanya di luar jangkaan. Bila diselidik, pengalaman editor di syarikat penerbitan lain juga mengalami perkara yang sama semasa bekerjasama dengan beliau.

Allah, betapa tertekan saya dan team saya waktu mengendalikan projek beliau. Mujur ketua unit saya cool orangnya dan dapat tangani dengan baik, jika tidak, editor yang terlibat semuanya boleh jadi hampir gila mahu siapkan projek tersebut.

Penulis yang dihubungi oleh penerbit (adakalanya editor sendiri), lazimnya sudah ada spesifikasi buku yang ingin penulis hasilkan. Penerbit selalunya lebih tahu apa yang audien atau pembaca mahu, jenis buku yang bagaimana yang laris dan laku, dan buku apa yang boleh diketengahkan. Penulis boleh beri idea, tetapi bukan semua idea boleh dibukukan atau diterbitkan. Jika idea penulis ditegur atau ditambah baik oleh editor atau penerbit, ada baiknya penulis terima dengan hati terbuka. Dari situlah penulis akan sentiasa membaiki dan belajar menghasilkan karya yang lebih baik.

Biarpun tugas editor 'hanya' menyunting dan membetulkan manuskrip, tetapi impaknya amat besar terhadap kualiti sesuatu karya dan naskhah/buku yang akan diterbitkan. Editor juga bertanggungjawab dalam setiap proses penerbitan buku. Jadi hargai dan hormatlah editor anda!

Hifzaila
Editor buku sekolah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...