Bukan Ibu Sempurna

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Pinterest

Pernahkah kita terfikir, adakah kita boleh jadi seperti mana mak atau mak mentua kita?

Anak sulung saya kurang sihat 2-3 hari ini. Kurang makan, kurang minum, main pun ala-ala saja tapi bercakap tu banyak jugalah kalau ada perkara yang tak diturutkan. Saya pula bila dah berkali-kali pujuk dia untuk makan atau minum, tetap tak jalan, saya jadi putus asa dan penat. Manakan nak melayan adiknya pula. Mujur adiknya tak memilih makan, apa saja saya suapkan, dia terima saja dan makan hingga kenyang alhamdulillah.

Kadang-kadang saya terfikir, adakah ibu yang baik akan melakukan begitu? Mesti akan diusahakan juga memujuk betul tak? Tapi saya tak mampu. Bab makan, macam-macam dah saya usulkan dia tetap tak mahu. Saya xah mati kutu. Yang dia nak makan semuanya yang tak ada di dapur. Dan saya pula tak ada kenderaan nak keluar. Ada ketika dia langsung tak makan. Tunggu sampai abahnya balik kerja lewat petang baru dia makan. Abahnya paksa dia makan, baru dia makan. Saya kalau paksa, dimuntah pula apa yang dimakan. Serba salah jadinya saya. Ada ketika, saya biarkan saja sebab saya sudah buntu hendak buat apa lagi.

Mak atau mak mentua kita mesti tak begitu masa layan kita atau pasangan kita masa kecil, kan? Mesti akan usahakan untuk turutkan apa yang kita mahu, selagi tidak memudaratkan. Anggapan begitulah yang sering membuatkan saya jadi serba salah. Kenapa saya tidak boleh jadi ibu yang pandai memujuk, pandai ambil hati anak, ikut apa yang anak mahu... ya, ada yang saya turutkan. Tapi ada juga yang saya katakan TIDAK BOLEH.

Adakah saya seorang ibu yang kejam? 😣

Saya pastinya tidak dapat jadi sebagaimana ibu atau ibu mentua saya, tapi yang pasti saya tetap akan berusaha menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak saya. Mengikut cara saya dan suami saya sendiri. Insya Allah.

Disebabkan itulah, saya paksa diri untuk baca buku-buku keibubapaan. Supaya saya tidak tersasar lebih jauh, serta dapat mendidik anak-anak mengikut zaman mereka. Serta diberi ketabahan dan kekuatan untuk melaksanakan saranan dan cadangan oleh pakar keibubapaan biarpun sukar...

Salam inspirasi,
Hifzaila
Editor di Rumah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...