Pengajaran daripada filem Shrek Forever After

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: dealflicks dot com

Benarkah kita benar-benar mahu kehidupan yang dulu yang mana kita bebas membuat apa saja yang kita suka, bila-bila saja yang kita mahu tanpa gangguan anak-anak atau suami/isteri?

Filem Shrek Forever After ini sudah lama, mungkin sekitar tahun 2007, cuma saya yang baru berpeluang menonton. Itupun sebab pasang untuk anak-anak. Namun kesudahannya bukan anak yang menonton tetapi saya.

Saya tidak dapat nafikan, dengan rutin harian sebagai suri rumah, adakalanya mengundang bosan dan jemu juga. Pernah juga terfikir, alangkah baiknya jika apa yang saya rancangkan setiap hari berjalan seperti yang dirancangkan, apa yang saya ingin buat, saya boleh lakukan tanpa kekangan. Maklumlah dengan anak-anak kecil, yang perlukan banyak perhatian, kadangkala saya terbungkang kelelahan melayan 2 jenis kerenah. Ada juga ketika, ada sedikit masa untuk saya lakukan kerja saya, saya pula sudah kehabisan tenaga.

Situasi inilah yang saya lihat dalam filem Shrek ini. Bila mana Shrek, setelah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak, terpaksa mengulang-ulang rutin yang sama setiap hari - bangun pagi dikejutkan oleh anak-anak, seterusnya beri minum susu, menukar lampin, berhadapan dengan masyarakat yang sudah tidak takut padanya (dia suka jika orang takut melihat dirinya), dan isteri yang setiap kali meminta dia membetulkan kerosakan dalam rumah semasa dia mengambil sedikit masa berendam dalam lumpur (aktiviti yang digemarinya). Shrek merasakan dia sudah hilang kehidupan yang asal dan semakin bosan serta tiada masa untuk diri sendiri.

Bila menonton bahagian ini, seperti terkena batang hidung sendiri pula.

Shrek akhirnya terpedaya dengan hasutan Rumplestiltskin yang menawarkan satu hari untuk kembalikan kehidupan yang dia mahukan. Dengan tanpa berfikir panjang, Shrek menerima tawaran itu tanpa menyedari helah di sebaliknya. Dia mendapat kembali hidupnya yang mana tiada gangguan daripada sesiapa, dan makhluk lain takut dengannya. Sehinggalah terjadi peristiwa yang mana akhirnya dia sedar dia dipermainkan oleh Rumpel dan ingin kembali bersama keluarga yang tercinta.

Benarlah, kita seringkali akan rasa menghargai bila sesuatu itu tiada. Bila kita kehilangannya. Kita rasa sunyi dan rindu keadaan yang sebelumnya menyusahkan bagi kita.

Sebenarnya Allah menguji. Menjadi ibu bapa memang tahap kesabaran diuji berkali-kali, setiap hari. Saya juga tidak terlepas daripada situasi begini. Ada ketika saya juga tidak mampu melawan rasa marah, rasa putus asa, rasa jemu. Sebagai orang yang tidak pandai meluahkan pada orang lain, saya akan menulis begini atau membuka buku-buku parenting dan membangun jiwa untuk kembalikan semangat dan motivasi saya. Ibu-ibu lain di luar sana lebih banyak yang besar cabaran dan dugaan berbanding saya.

Jadi, kembalilah kita ke 'pangkal jalan' dan jadi waras semula, insya Allah.

Wallahua'lam.

Hifzaila
Editor di Rumah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...