Kerjaya Sebagai Editor

Teks: Hifzaila Hafni

Menjadi editor bukanlah satu kerjaya impian saya tetapi mungkin atas minat Allah lorongkan saya ke arah itu.

Saya sedari sekolah, sangat minat dengan penulisan dan penerbitan. Semasa bersekolah, sering juga sertai pertandingan penulisan dan menghantar artikel untuk majalah sekolah. Sewaktu di kolej, melibatkan diri dalam sidang redaksi majalah. Dan subjek kegemaran saya sudah tentulah subjek bahasa (Bahasa Malaysia dan Inggeris).

Bermulanya kerjaya saya sebagai editor apabila berjaya dalam temuduga untuk jawatan editor sains di salah sebuah syarikat penerbitan buku-buku pendidikan dan sekolah. Saya ternampak iklan jawatan kosong tersebut semasa sibuk mencari kerja dan menghantar resume bila mana kontrak saya sebagai pembantu penyelidik di USM ketika itu hampir tamat. Saya hanya ingin mencuba nasib walaupun syarat kelayakan yang diperlukan adalah berpengalaman. Saya ini sudahlah tiada pengalaman, tiada asas dalam bidang penerbitan pula (menyunting, membaca pruf). Tapi disebabkan minat, saya cuba mohon juga melalui Jobstreet.

Alhamdulillah tidak lama selepas itu, saya dipanggil untuk temuduga dan akhirnya berjaya melalui 2 peringkat temuduga dan diterima bekerja.

Disebabkan pejabat syarikat tersebut di Shah Alam dan saya pula menetap di Pulau Pinang, maka saya perlu berhijrah dan itulah permulaan saya belajar hidup sendiri di tempat yang asing bagi saya. Pada mulanya saya serba salah untuk menerima tawaran kerja tersebut memandangkan persekitaran dan kawasan syarikat yang kurang akses pengangkutan awam (saya belum ada kenderaan waktu itu) tetapi memikirkan peluang begini tak mungkin datang lagi, saya tabahkan diri menerima. Alhamdulillah juga bakal bos dan rakan sekerja saya ketika itu banyak membantu dalam pencarian rumah sewa dan kenderaan untuk ke pejabat.

Maka bermulalah episod teruja saya sebagai seorang editor pada Jun 2006. Saya bermula sebagai editor sains dan biologi. Semua kemahiran menyunting saya belajar secara hands on, manakala pengetahuan sains saya digunakan untuk suntingan buku-buku yang berkaitan.

Saya boleh katakan saya sangat seronok dengan kerjaya ini. Disuruh kerja lebih masa tiada masalah bagi saya. Dan sering juga bawa kerja balik ke rumah. Disebabkan minat, langsung tak rasa terbeban malah merasa kepuasan dapat menyiapkan sesuatu projek.

Alhamdulillah saya berpeluang berkhidmat di situ selama hampir 6 tahun, sehingga syarikat tersebut membuat keputusan menutup operasinya di Malaysia (syarikat induk di US).

Selama 6 tahun itu, banyak perkara yang saya belajar, bukan sahaja ilmu editorial tetapi juga semangat bekerja dalam kumpulan dan kepimpinan. Saya temui bos dan rakan sepejabat yang terbaik di syarikat ini. Dan di sini jugalah kerjaya pertama saya bermula dan meninggalkan pengalaman yang paling berharga dalam hidup saya.

Sesungguhnya Allah telah tetapkan yang terbaik untuk setiap hambaNya. Keputusan saya memohon dan menerima tawaran kerja tersebut rupanya itulah yang terbaik. Dan kini, saya lebih selesa sebagai freelance editor, yang mana saya beroperasi di rumah. Setakat ini, saya selesa begini di samping menjaga anak-anak kecil saya sendiri. Tetapi jika pada masa akan datang saya perlu bekerja semula, saya akan pertimbangkan. Yang pasti, kerjaya editor juga yang sentiasa di hati saya.

Doakan saya berjaya. Saya doakan semua yang sudi membaca kisah bermulanya kehidupan editor saya ini juga semuanya berjaya dalam bidang yang diceburi. Setiap kita mempunyai peranan masing-masing dan jalankan dengan sebaiknya.

Editor di rumah,
Hifzaila

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...