Bidang Tugas Seorang Editor Buku

Teks: Hifzaila Hafni

Bila mana saya ditanya apa kerja saya, dan jawapan saya editor, pelbagai reaksi yang selalu saya terima.

Saya akan tetap menjawab editor, tetapi lazimnya jawapan saya akan disusuli dengan muka yang berkerut pada si penanya. Jadi selepas itu saya akan terangkan sedikit bahawa kerja saya buat buku sekolah. Lebih mudah begitu. 

Dalam kalangan rakan-rakan, seringkali jawatan editor dipandang hebat. Kebanyakannya beranggapan saya bekerja sebagai editor majalah! Oh saya belum layak ke tahap itu dan bidang tugasnya amat berbeza. Jadi saya tetap perlu terangkan bahawa saya adalah editor buku sekolah, buku rujukan sains sahaja bukan majalah fesyen atau majalah lifestyle. Hehe.

Editor boleh datang dari pelbagai bidang. Selain editor majalah, editor buku  (seperti saya), juga terdapat video editor. Semuanya dengan skop kerja yang berbeza. Tapi saya hanya terangkan lebih lanjut bidang tugas editor buku sahaja ya. Mengetahui bidang tugas editor buku sedikit sebanyak dapat membantu para penulis menghasilkan karya yang lebih baik.

Secara ringkasnya, bidang tugas seorang editor buku, seperti yang dinyatakan oleh Hamedi Mohd Adnan dalam bukunya Memahami Penyuntingan Naskhah;

E: Evaluation (Penilaian)
D: Delete (Mengurangkan)
I: Include/Instruct (Menambahkan/Menunjukkan)
T: Trimming (Mengemaskan)
O: Organise (Menyelaraskan)
R: Review (Menilai)

Menurut Hamedi, berdasarkan formula tugas editor di atas, editor akan membuat penilaian tentang projek penerbitan yang ditanganinya dengan menilai manuskrip penulis. Dalam proses penilaian itu, editor mungkin akan membuang atau mengurangkan atau menambah atau menunjukkan supaya apa-apa yang dikemukan penulis adalah jelas kepada bakal pembaca. Boleh dikatakan editor adalah orang tengah yang menghubungkan komunikasi penulis agar dapat difahami pembaca.

Peranan editor penting untuk memastikan buku yang akan dicetak berkualiti dan menepati standard rumah penerbitan. Jadi sedikit nasihat untuk penulis, bekerjasamalah dengan editor dengan baik, kerana sedikit sebanyak buku yang berkualiti itu hasil suntingan editor juga :)

Salam Editor di Rumah,
Hifzaila

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...