Bisnes Nasi Lemak Depan Rumah

Teks: Hifzaila Hafni

Dulu-dulu semasa saya masih bekerja dan menghantar anak ke taska, selalu singgah belikan sarapan di sebuah rumah yang mana di depan pagarnya diletakkan meja nasi lemak bungkus dan kuih-muih.

Disebabkan lokasinya amat strategik untuk saya, iaitu memang menjadi laluan saya setiap hari serta dekat pula dengan taska, memang kakak nasi lemak tersebut sering menjadi pilihan saya. Nak parking pun senang, berhenti depan pagarnya sahaja. Jadi sangat mudah.

Biarpun dia hanya menjual nasi lemak bungkus dan 2-3 jenis kuih, saya tetap singgah dan beli apa yang ada. Kalau bernasib baik ada juga mihun. Ada ketika, kuih langsung dah habis. Maklumlah kuih yang dibuat pun dalam kuantiti sedikit sahaja. Kalau ada pelanggan yang datang sebelum saya dah memborong, bermakna bukan rezeki sayalah hari itu. Kalau saya sampai awal, saya siap bekalkan untuk diri sendiri juga.

Nasi lemaknya ringkas sahaja. Nasi semangkuk kecil, telur dadar nipis secebis, sambal 1 sudu. Timun, ikan bilis, kacang - saya dah ingat ingat lupa sama ada ada atau tidak. Hanya RM1 sebungkus. Itu pun laku bila jiran-jiran singgah membeli seusai pulang dari surau dan budak sekolah singgah beli sarapan untuk ke sekolah. Yang penting, CUKUP RASA dan penjualnya PERAMAH. Baik kakak tersebut mahupun suaminya, kedua-duanya sangat peramah. Kadang-kadang dibagi lebih untuk anak saya. Rezeki alhamdulillah.

Saya sebenarnya teringin sangat berbisnes begitu. Buka meja di depan rumah sahaja. Tak perlu fikir mencari kedai. Selain mudah saya membeli, saya sebenarnya memerhatikan bagaimana kakak tersebut beroperasi dengan hanya dari rumah. Ambil inspirasi kata orang. Mana tahu suatu hari tercapai impian begitu. Jadi kena lah asah bakat memasak dan belajar daripada yang pakar 😊

Berbisnes begitu, walaupun untung tidak sebesar mana tapi duit tunai masuk setiap hari. Dan juga merapatkan ukhuwah dengan jiran dan masyarakat. Saya kira, kakak tersebut bukanlah berjualan untuk bisnes sangat, ia lebih kepada kepuasan atau adanya permintaan.

Apa jua sebab dia tidak teruskan berjualan (selepas hari raya tahun tersebut dia sudah tidak buka meja), saya tidak tahu. Apapun, saya sangat berterima kasih dan bersyukur kepada Allah kerana telah membuka mata dan memberi ilham kepada saya. Mungkin tidak terlaksana sekarang, di masa hadapan tak siapa tahu.

Salam inspirasi suri,
Hifzaila

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...