Suri Rumah Positif, Keluarga Gembira

Teks: Hifzaila Hafni

Menjadi suri rumah lebih10 bulan ini, alhamdulillah sahaja saya mampu ucapkan. Saya tahu peluang begini turut menjadi idaman sebilangan ibu yang bekerja juga, namun percayalah apa yang telah ditakdirkan untuk kita, sama ada berstatus suri rumah atau ibu bekerja - itulah yang terbaik yang Allah dah tetapkan untuk kita.

Selama tempoh ini, saya tak nafikan memang pada awalnya agak sukar saya nak mengawal emosi dan masa antara anak-anak, urusan rumah tangga dan bisnes online. Sememangnya menuntut komitmen yang besar. Namun dengan bantuan suami, alhamdulillah perlahan-lahan saya sudah mula boleh mengawal emosi dan masa dengan lebih teratur, biar pun ada ketikanya terbabas juga. Tapi, terbabas sedikit sahaja lah ya. Bukan apa, suri rumah amat perlu menjaga emosi kerana seluruh keluarga bergantung padanya. Kenapa saya cakap begitu?

Sebab, jika ibu emosinya stabil dan terkawal, dia akan melakukan kerja-kerja rumah dengan gembira dan lebih baik. Dia akan fikir kerja yang dilakukan (atau harus/terpaksa) lakukan ini adalah ibadah dan lebih kepada tanggung jawab dan kepuasan. Bayangkan jika emosi ibu yang tak stabil dan asyik melayan emosi negatif sahaja - akibatnya anak-anak mungkin sering dimarahi, kerja rumah tak selesai dan menambah stres. Suami juga sentiasa susah hati.

Saya tak sempurna. Saya juga pernah melalui situasi begitu.

Tapi, syukur suami tegur dan berbincang. Saya rupanya tak sedar saya dalam keadaan begitu. Alhamdulillah walaupun kini masih dalam fasa berubah, sedikit-sedikit saya cuba dan paksa diri jangan melayan sangat stres atau perkara yang merisaukan.

Betul, rezeki duit memang tidak sebanyak sewaktu bekerja pejabat. Tapi, Allah beri rezeki dalam bentuk lain. Rezeki kita masing-masing juga tak sama. Allah Maha Adil.

Jadi, suri rumah sekalian, jangan stres-stres. Ambil masa refleksi diri. Biasalah ada masa jatuh, tapi jangan lupa bangkit balik ya!

Memperkasa potensi suri.

Salam inspirasi,
Hifzaila Hafni

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...