Kenapa Perlu Mula Beri Makanan Pejal pada Usia Anak 6 Bulan?

Teks: Hifzaila Hafni

Alhamdulillah, Faheem sudah pun menjangkau usia 6 bulan.

6 bulan yang sangat cepat saya rasakan berbanding Fuaad dahulu. 6 bulan yang mencabar, tapi yang pastinya saya sangat bersyukur Allah bagi rezeki pada saya untuk menjayakan penyusuan eksklusif selama tempoh ini.

Memang ianya tak mudah, tapi tidak bermakna tak boleh dilakukan. Dengan sokongan suami dan pengalaman terdahulu, saya lebih bersedia dan yakin meneruskan penyusuan, insya Allah hingga Faheem berusia 2 tahun.

Menginjak 6 bulan, pasti ibu teruja nak mula bagi anak makan, bukan?

Jangan terlalu teruja, sebab di usianya ini kita bukan nak bagi makan untuk anak kenyang tapi lebih kepada memperkenalkan makanan pejal dan melengkapkan nutrisi yang susu ibu tak mampu nak bekalkan.

Apabila anak sudah 6 bulan, ibu kena bagi makanan pelengkap untuk tampung keperluan zat besi terutamanya, kerana susu ibu sahaja tidak memadai dan tubuh bayi juga kini perlukan nutrisi yang lebih seiring usia. Jadi, anak kena diberi makanan yang kaya zat besi (iron fortified) dan ibu menyusu juga perlu makan makanan yang berzat besi tinggi.

Macam Fuaad dahulu, saya memang 'lost' dan tak tahu nak ikut mana satu. Ada yang kata bagi nasi, ada yang kata mula dengan buah dan sayur dahulu. Ada yang bagi bijirin (Nestum). Kasihan dia, umminya yang keliru ini pada waktu itu tak cukup ilmu. Caca marba dibuatnya. Tapi untuk Faheem, alhamdulillah saya lebih bersedia dan yakin. Penting kena banyak membaca dan mencari maklumat, bukan sekadar mengikut sahaja.

Sebagai permulaan untuk Faheem, saya akan mulakan dengan buah-buahan dahulu. Pisang mungkin.

Saya ikut cara Wardina Safiyyah melalui bukunya Mama, Saya Lapar! .

Dan bila baca pun, sebaiknya mula dengan buah dahulu. Insya Allah saya akan cuba bagi pisang untuk 4 hari pertama (4 days rule) dan niatnya hari kelima nak cuba avokado pula. Dulu Fuaad suka makan avokado. Tak tahulah adiknya macamana. Lepas 4 hari avokado, kita lihatlah nanti buah apa pula ya.

Semoga anakanda Faheem mudah nak makan dan tak banyak kerenah. Ummi kena rajin dan sabar sajalah :-)

Salam sayang,
UmmiFuaadFaheem

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...