Resipi Sambal Sotong Kacang Tumbuk

Teks & Foto: Hifzaila Hafni
Inspirasi resipi: 300 Resipi Menu Ramadan & Syawal

Sambal sotong antara menu kegemaran keluarga saya. Sebelum ni, saya biasa masak sambal sotong hidup saja, tapi semalam saya cuba sotong kembang. Ikut saja permintaan suami ☺

Sotong kembang ni sotong yang biasa kita jumpa dalam menu sotong kangkung dan sebagai lauk nasi lemak. Saya ingat susah nak masaknya, rupanya senang je. Tapi untuk permulaan kita ikut lah resipi buku dulu ye.

Dan sotong kembang ni kalau buat sambal, memang sedap diletak kacang tumbuk. Sebelah utara (saya tak tahu selatan atau bahagian lain), kalau makan pasembor atau rojak mi ni, biasa mamak tu letak sambal sotong kacang ni.

Jom tengok bahan dan cara nak masaknye. Tapi saya ada ubahsuai sikit daripada resipi asal.

Sambal Sotong Kembang Kacang Tumbuk

Bahan-bahan:
1 ekor sotong kembang (dibersihkan, ditoskan)
1 peket serbuk cili
2 sudu teh pes asam jawa Adabi
1 labu bawang besar
3-4 ulas bawang putih
Segenggam kacang tanah (disangai dan dibuang kulit)
2 sudu besar gula melaka
1 sudu besar sos tiram
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis (setengah cawan)
1 cawan air

Cara masak:
1. Sotong kembang dihiris 1 cm. Kacang tanah dikisar kasar atau ditumbuk.
2. Bawang besar dan bawang putih dihiris nipis.
3. Serbuk cili dibancuh dengan sedikit air dan dijadikan pes.
4. Panaskan minyak, tumiskan bawang hingga layu dan naik bau.
5. Masukkan pes cili. Masak hingga garing. Kalau terlalu kering atau hampir hangus, tambahkan air. Kecilkan api. Biarkan mendidih.
6. Bila dah pecah minyak, masukkan sotong. Sambal akan makin berair sebab sotong tadi mengeluarkan air. Biar mendidih lagi dan hingga sotong masak dan lembut. Guna api sederhana.
7. Masukkan pes asam jawa. Kacau sebati.
8. Masukkan sos tiram, gula melaka dan garam (jika perlu).
9. Masukkan 2-3 sudu kacang tanah tadi.
10. Sesuaikan kepekatan kuah mengikut kesukaan anda. Siap untuk dihidang.

Sedap makan dengan nasi putih. Dengan ketupat, lemang dan nasi impit pun sedap 😊😊.

Selamat mencuba!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...