Menu Mudah untuk Anak - Mi Suah Sup

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Salah satu menu kegemaran anak bujang saya adalah mi. Kalau mi goreng tu bukan main laju dia makan siap bertambah. Mi sup pun sama. Sebab dia suka sangat mi, saya cuba pelbagaikan jenis mi. Kadang-kadang pasta. Yelah asyik makan nasi pun jemu juga kan. Mi dan pasta pun sumber karbohidrat juga sama macam nasi.

Mi suah ni memang mudah sangat nak masaknya, dalam 10-15 minit dah siap. Mi ni tak boleh dimasak lama sebab cepat kembang. Jadi lepas siap masak kena makan terus, baru sedap.

Saya kongsikan cara saya masak mi suah sup ni kalau ada ibu yang nak cuba masakkan untuk anak atau keluarga.

Bahan-bahan:
1 peket mi suah (ada 2 gulung mi)
Sedikit sotong (atau protein yang lain)
Suku labu bawang besar (dihiris)
2 ulas bawang putih (dihiris)
2 inci carrot (dipotong julienne/batang mancis)
1 batang daun sup & daun bawang (dipotong kasar)

Cara masak:
1. Panaskan minyak. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga naik bau.
2. Masukkan sotong. Biar sotong masak.
3. Masukkan air, agak-agak cukup untuk rendamkan 2 gulung mi suah. Masukkan sedikit garam dan lada sulah (jika suka).
4. Mendidih, masukkan carrot diikuti mi.
5. Gaul rata dengan perlahan sebab mi mudah hancur dan patah.
6. Masukkan daun bawang dan daun sup. Tutupkan api.
7. Sedia dihidang.

Boleh juga masukkan telur, sebelum masukkan daun bawang dan daun sup.

Selamat mencuba!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...