Bagaimana Saya Bermula Sebagai Ibu yang Bekerja Dari Rumah

Teks: Hifzaila Hafni
Foto: catemontana.com

Bismillah.

Pada tarikh ini, 9 tahun lalu, saya memulakan kerjaya pertama saya sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan. Biarpun belum seminggu selepas ayahanda saya kembali dijemput Allah, saya tak minta untuk tangguhkan hari melapor diri sedangkan saya boleh mohon kalau saya mahu.



Biar saya mulakan hidup yang baru dengan suasana baru - supaya kurang ingat kepada arwah.

Bukan bermaksud melupakan, tapi mengurangkan rasa sedih.

Berbalik kepada kerjaya pertama.

Alhamdulillah, kerjaya ini bertahan selama hampir 7 tahun. Saya pun tak sangka saya jadi editor sebab ijazah saya bukan bidang penerbitan atau komunikasi. Tapi, saya memang suka kerja-kerja yang berkaitan dengan buku dan membaca. Selama saya di situ, banyak yang saya belajar sebab saya ada ramai senior dan bos yang tak kedekut ilmu.

Saya kira keputusan saya menerima tawaran bekerja di situ adalah antara salah satu keputusan yang terbaik yang saya pernah buat sepanjang hidup saya. Alhamdulillah Allah lorongkan hati saya memohon kerja ini walaupun pada asasnya tak cukup syarat pun.

Walau bagaimana pun, takdir; jodoh dengan syarikat ini berakhir setelah hampir 7 tahun saya di situ sebab syarikat menghentikan operasi. Memang suatu keadaan yang saya tak jangka langsung. Tambahan pula waktu itu saya mengandungkan anak pertama, dah hampir 7 bulan. Allah memang dah atur hidup saya dengan cantik supaya saya dapat berehat sebelum bersalin, dan tak perlu fikir cuti bersalin. Disebabkan itu juga saya yakin untuk mengulangi keadaan yang sama untuk anak kedua bila mana saya ambil keputusan untuk berhenti kerja semasa mengandung 8 bulan, seterusnya bekerja di rumah dan menjaga anak-anak (keadaan sekarang); setelah merasakan saya tak mampu nak fokus kepada kerjaya selepas dikurniakan 2 anak (saya kembali bekerja semasa anak pertama berusia 10 bulan).

Begitulah kisah bagaimana saya bermula sebagai suri yang bekerja dari rumah.

Memang tak mudah, tapi saya rasa lebih tenang, sekurang-kurangnya buat masa ini. Kerenah anak-anak kadangkala amat meletihkan tapi begitulah hakikat menjadi seorang ibu. Dan terbiasa menjadi ibu yang bekerja dengan gaji tetap, bila tak bekerja tiadalah duit sendiri. Tapi, alhamdulillah di zaman sekarang, berada di rumah juga boleh ada gaji - buat bisnes online dan jadi freelance editor. Sedikit sebanyak boleh lah bantu suami dan untuk keperluan sendiri.

Anda juga boleh, kalau TAHU dan MAHU TAHU caranya.

Wallahua'lam.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...