Cara Menangani Anak Cemburu dengan Adik Baru

Dulu saya ada kawan sekerja yang katanya dia tak menyusu badan untuk anak yang kedua kerana anak pertama cemburu.

Saya terkedu juga mendengar alasan begitu. Adakah disebabkan kecemburuan anak yang lebih besar menghalang adiknya mendapat susu ibunya sendiri? Saya kurang bersetuju kawan saya membuat keputusan begitu, tapi dia lebih tahu dan kenal anak-anaknya. Siapalah saya untuk membuat anggapan.

Kini, saya faham perihal cemburu adik-beradik tu. Sejak dapat anak kedua ni, memang terserlah kecemburuan anak pertama. Dia masih dalam fasa menyesuaikan diri, menerima ahli keluarga baru dan layanan yang terhad padanya. Memang saya tak dapat nafikan, sudah tentu fokus saya pada yang kecik. Tapi seboleh-bolehnya saya cuba fokus padanya juga supaya dia tak rasa diabaikan tapi ada masanya saya juga tak dapat kawal perasaan bila dia mahukan perhatian dan buat perangai.

Mula-mula saya memang tertekan nak tangani masalah macam ni. Baru anak 2 ni ye. Tapi semakin hari, saya makin mampu kawal perasaan saya dan melayan kedua-duanya sama. Dan sekarang ni, adiknya pun dah pandai cemburu juga! Aduhai anak, anak.

Apa yang saya buat dalam menangani kecemburuan anak pertama terhadap adiknya:

1. Terangkan dengan tegas tapi dengan nada suara yang rendah supaya dia bersabar atau tunggu sekejap.

Saya selalu cakap padanya;
'Tunggu kejap, lepas adik habis menyusu ni, ummi buat nasi goreng tu'. Anak akan berulang kali minta hingga kita buat tapi setiap kali tu lah saya pujuk dan cuba kawal perasaan jangan sampai marahkan dia. Budak-budak memang tak sabar. Tambah pula kita tengah layan adiknya.

2. Biarkan dia bermain-main dengan adik tetapi perhatikan dari jauh.

Awasi supaya dia tak cederakan adik macam hempap perut ke, ketuk kepala ke (cemburu kan), cubit atau tarik rambut. Dengan cara ni, kurang sikit rasa cemburu lama-lama dia boleh sayang dan terima kehadiran adiknya.

3. Ikut kegemaran atau kesukaannya asalkan tidak melampau.

Anak akan merengek atau buat perangai nak itu dan ini, dan bila tak dapat dia memang akan memberontak. Macam-macam benda dia tak setuju dengan kita macam baju yang nak dipakai, rancangan tv yang dia nak tengok, apa yang nak makan...akan ada saja pemberontakan. Dia nakkan perhatian kan. Jadi asalkan tidak melampau, saya ikutkan saja. Kalau tak, nanti adiknya boleh jadi mangsa sebab dia tahu saya akan marah kalau dia usik adik dengan kasar. Kalau dia nak tindakan sama macam kita buat kat adik, macam cium ke peluk ke, layankan aje. Nanti dia rasa tersisih pula.

4. Jangan kerap marah anak.

Kita anggap dia dah besar sebab kita ada anak kecil tapi macam anak saya yang baru berumur 2 tahun setengah, apalah yang dia faham. Memang ada masa saya hilang sabar juga tapi kebanyakan masa saya cuba untuk tak biarkan itu selalu berlaku. Anak tak faham kenapa dia kena marah dan dihukum. Dan jika kita bertindak kasar dia akan berkasar juga. Saya akan cuba terangkan apa yang dia buat salah dan kena kata maaf. Lepas tu peluk dia. Cakap baik-baik. Insya Allah lama-lama dia akan faham dan ok. Elakkan marah anak selalu. Nanti dia membesar dengan rasa tak puas hati dan asyik nak marah orang lain juga.

5. Berdoa supaya anak dengar kata dan lembut hati.

Ni senjata paling mujarab. Doa mak ayah kepada anak. Boleh doa semasa anak nak tidur dan bisik pada telinga dia apa yang kita nak dia jadi. Selain tu, sambil-sambil masak boleh selawat dan berdoa juga. Sebab anak makan apa yang kita masak. Mudah-mudahan doa tu sampai padanya.

Wallahua'lam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...