Jurnal 44: Berpantang Anak Kedua

Teks: Hifzaila Hafni

Alhamdulillah, saya telah selamat melahirkan anak kedua saya seminggu lepas dan kini saya telah bergelar ummi kepada dua anak lelaki.

Lebih seminggu berlalu, dan saya boleh katakan berpantang kali ini amat berbeza dengan berpantang masa anak pertama. Antaranya saya sudah ada sedikit pengalaman, jadi ada perkara yang saya boleh lakukan sendiri tanpa menyusahkan ibu mertua saya.

Oh ya, saya berpantang di rumah mertua ☺

Berpantang kali ini, alhamdulillah dikurniakan kesihatan dan kekuatan yang lebih baik berbanding anak pertama. Kalau dulu, saya ambil masa untuk pulih luka jahitan bersalin dan mengembalikan tenaga yang hilang semasa bersalin. Hampir 2 bulan juga untuk luka sembuh dan saya cukup kuat untuk mengendalikan anak saya dan balik semula ke rumah sendiri.

Waktu itu, saya tak perlu memikirkan cuti bersalin sebab saya suri rumah sepenuh masa dan sesekali mengambil kerja freelance sebagai editor atau penterjemah yang beroperasi di rumah. Sama juga dalam situasi saya sekarang. Bezanya, saya berbisnes online. Jadi saya ada masa untuk beri lebih tumpuan pada anak-anak saya di samping meneruskan bisnes.

Dan berpantang kali ini juga, alhamdulillah luka bersalin tidak begitu banyak dan sudah hampir sembuh. Saya juga sudah mendapat sedikit tenaga untuk kendalikan bayi dan anak sulung. Penghasilan susu badan juga semakin baik berbanding dahulu yang mana saya betul-betul tak cukup ilmu tentang penyusuan. Kini dengan sedikit ilmu yang ada dan masih lagi mencari, saya berniat untuk terus menyusukan bayi hingga 6 bulan seterusnya 2 tahun. Semoga Allah mudahkan perjalanan penyusuan kali ini.

Saya berpantang tradisional dan juga moden. Param, pilis, bengkung, mengurut masih diamalkan (ada juga cheat day!). Yang modennya saya guna bengkung tali yang dah siap sesekali diselangi dengan korset/girdle. Jamu saya memang tak berani cuba lagi sebab menyusukan anak. Untuk rawatan dalaman, saya ambil suplemen dan menjaga pemakanan setakat mampu.
Suplemen yang saya ambil meliputi vitamin asas untuk memulihkan tenaga di samping tambahan protein dan alfalfa sebagai milk booster; selain makanan lain yang lazimnya dikaitkan sebagai makanan yang membanyakkan susu seperti lobak putih, minuman horlicks dan susu. Susu kambing pilihan saya 😊

Insya Allah dengan gabungan kedua-dua ini (cara pantang tradisional dan moden) tubuh kita akan kembali normal.

================================

Kalau ingin tahu lebih mendalam tentang berpantang tradisional dan moden, boleh dapatkan ebook 44 HARI BERPANTANG TRADISIONAL DAN MODEN hasil tulisan Puan Masayu Ahmad.

SMS/Whatsapp 019 460 3094 untuk pembelian ebook ini. Link ebook akan dihantar secepat mungkin selepas pembayaran dibuat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...