Jurnal 44: Berpantang di Rumah Sendiri

Teks: Hifzaila Hafni

Alhamdulillah sudah masuk hari ke-28 berpantang dan saya sudah pun pulang ke rumah sendiri dan meneruskan pantang dengan bantuan suami.

Sebelum ni terfikir juga sama ada saya mampu atau tidak mengendalikan diri sendiri yang masih berpantang dan menjaga anak-anak di samping mengurus rumah. Tapi alhamdulillah setakat 4 hari ini, keadaan masih terkawal.

Mulanya huru-hara juga. Tapi bukan pasal rumah atau baby, tapi nak menangani kerenah anak sulung. Ada saja perangai dia yang menaikkan darah saya. Tapi bila difikir balik, dia masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri dengan kehadiran adik baru, dengan berkurangnya masa saya dengan dia seperti sebelum ini dan perasaan cemburu bila saya asyik dengan adiknya sahaja.

Ada juga sekali-sekala terbabas ternaik suara padanya tapi lama-kelamaan saya cuba sesuaikan keadaan dan memahami dia. Memang sukar tapi buat masa ini saya ikut sahaja rentaknya. Asalkan tidak membahayakan adiknya.

Adakalanya buntu juga, apalah lagi yang saya boleh buat untuk tarik perhatian dia. Saya pasangkan cerita kegemarannya di tv. Saya lambakkan permainannya di ruang tamu, letakkan buku-bukunya di tempat yang dia senang nampak dan menurut sahaja apa yang dia nak makan. Itu pun kadang-kadang tak berjaya juga sebab budak sebaya dia ni kan jenis cepat jemu.

Nampaknya kena usaha lagi untuk alih perhatian atau buat aktiviti yang boleh kembangkan minda dia tu. Insya Allah selepas ini.

Tak dinafikan kadang-kadang bila dua-dua menangis serentak, dua-dua nak perhatian, saya pula rasa letih yang teramat sangat - saya memang rasa tertekan dan terbit juga menyesal buat keputusan berhenti kerja. Tapi lepas tu saya akan cepat-cepat fikir balik tujuan saya berada dan bekerja di rumah.

Sebab... saya nak urus anak saya sendiri dan membesar dengan tangan saya di depan mata saya. Dengan berfikir begitu saya jadi kuat semula dan layankan saja kerenah anak sedang membesar. Selebihnya saya bersabar. Sabar dan sabar. Dah memang kerenah anak-anak begitu. Semua ibu bapa pun melalui perkara yang sama. Ibu bapa kita pun melaluinya semasa membesarkan kita dulu.

Dan saya tahu saya boleh lakukan ini, tambahan pula dengan bantuan dan sokongan suami. Alhamdulillah suami banyak menolong menguruskan rumah selama saya berpantang ini. Kalau tak, saya rasa boleh kemurungan juga ni jika tak kuat. Tapi minta dijauhkan.

Setakat ini, alhamdulillah I am fine.

Doakan saya terus tabah dan habiskan tempoh berpantang dengan jayanya.

:)

***********************************

Untuk dapatkan ebook khas untuk ibu berpantang hasil tulisan Puan Masayu Ahmad:

1. Panduan 44 Hari Berpantang Tradisional dan Moden
2. 44 Resepi Pantang

Boleh hubungi Hifzaila 019.460.3094.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...