Resipi Sup dan Sambal Ikan Mudah

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Macam dah lama saya tak kongsi resipi di sini. Bukan saya tak memasak cuma tak sempat nak kongsi dan ambil gambar. Tapi selalunya pun saya masak menu ringkas saja sebab nak cepat. Maklumlah anak bujang saya tu lepas balik taska, memang dia lapar. Jadi saya selalunya masak menu yang mudah sahaja macam sup atau goreng kunyit. Mujur juga dia bukan jenis yang memilih makan.

Alhamdulillah.

Suami saya ada bawa balik seekor ikan jenahak. Rezeki dia jadi urusetia pertandingan memancing yang dianjurkan tempat dia bekerja. Saya memang teruja sebab saya memang suka ikan jenahak ni. Lagi-lagi yang segar macam ni. Kalau bel kat pasar boleh tahan juga harganya.

Jadi semalam, saya cuba masak sup ikan. Suami saya tak minat sangat ikan berkuah, jadi seketul saja dimasukkan dalam sup dan seketul lagi digoreng kunyit. Cukup la untuk kami bertiga, lagipun potongan ikan agak besar.

Berselera juga anak saya makan, bertambah-tambah. Sejak-sejak saya berikan dia makanan tambahan ni, selera dia meningkat berbanding sebelum ini. Alhamdulillah.

Tapi yang paling tak sangka dia suka makan pedas. Sambal tu dia makan selamba je. Fuaad tu baru nak masuk 2 tahun setengah. Tapi makan sambal rilek je. Adoyai.

Tapi menu yang berkuah macam sup dan kuah lemak pun dia makan juga. Cuma masak kicap aje dia kurang minat.

Ok lah, ini saya kongsikan resipi sup ikan jenahak yang mudah saja nak buat. Kalau nak ganti apa-apa ikan lain pun boleh. Ikan merah atau tenggiri pun sedap dibuat sup.

Sup Ikan Jenahak

Kredit najlaaimi.blogspot.com
Sup ikan saya taklah semeriah dan nampak sesedap ini. Hehe tapi lebih kuranglah cam ginilah.

Bahan-bahan:
3 ketul ikan jenahak
1 peket sup bunjut (Sup Ikan Adabi)*
2 ulas bawang merah (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
1/2 ibu jari halia (ditumbuk)
1 batang serai (diketuk)
1 batang seleri (dipotong serong)
1 biji tomato (saya ganti dengan asam keping)
2 sudu minyak zaitun
Garam
Air
Daun bawang
Bawang goreng
*Dalam peket sup bunjut dah tersedia kulit kayu manis, buah keras dan daun bay.

Cara Masak:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk hingga naik bau.
2. Masukkan air. Diikuti buah keras dan daun bay.
3. Bila mendidih sikit, masukkan seleri dan serai. Kemudian ikan.
3. Masukkan asam keping atau tomato.
4. Perasakan dengan garam.
5. Biarkan merenih sikit lagi.
5. Tabur bawang goreng dan daun bawang. Sedia dihidang.

Siap!

Sambal Ikan Jenahak
Bahan-bahan:
2 ketul ikan jenahak (digoreng dan diketepikan)
5 sudu besar cili kisar (telah dikisar bersama bawang merah dan putih)
2 sudu sos cili
2 sudu sos tiram
1/2 sudu kecil pes asam jawa segera
1/4 cawan air
Secubit gula

Cara Masak:
1. Panaskan minyak.
2. Tumis cili kisar hingga garing.
3. Masukkan sedikit air.
4. Masak hingga pecah minyak.
5. Masukkan sos cili dan sos tiram.
6. Kalau terlalu kering, masukkan sedikit air lagi.
7. Masukkan pes asam jawa.
8. Kacau hingga sebati.
9. Masukkan gula.
10. Curahkan sambal atas ikan goreng tadi.
*Pes asam jawa boleh diganti dengan sos tomato.
*Sebelum masukkan gula, rasa dahulu. Kadangkala tak perlu sebab sos-sos yang digunakan sudah memberi rasa manis.

Saya tak boleh upload gambar sup ikan dan sambal ikan saya. Tak tahu lah kenapa. Tapi macam yang kat atas ni lah lebih kurang. 

Senang je kan?

Sup ikan tu banyak juga anak saya makan. Sedap dihirup dan dimakan bersama nasi panas.

Silakan mencuba ye!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...