Merawat Batuk dan Selsema Anak Di bawah Umur 2 Tahun

Teks: Hifzaila Hafni
Imej: Pa&Ma

Seminggu lepas, Fuaad batuk berkahak. Bila musim hujan-panas macam ni, memang cepat sangat dia kena selsema-batuk macam ni. Hingus pun asyik meleleh je. Masa tidur malam la paling kesian, dengar dia batuk kong-kong macam tu.

Selalunya tindakan pertama kami bila dia batuk berkahak (tapi badan tak panas), kami akan bagi madu. Sebab madu selalunya berkesan untuk dia. Sampaikan pernah bagi beberapa hari berturut, agaknya kuantiti agak banyak, pernah jadi panas pulak badan dia. Sejak tu kami kurangkan kuantiti madu tu dan kadangkala saya bancuh dulu dengan air bagi dia minum.

Setakat ni, alhamdulillah. Tapi ambil masa dalam 4-5 hari juga lah. Selang seli juga diberi Nutriferon Shaklee untuk tingkatkan sistem imun.


Sebenarnya, sebelum ni Fuaad dah banyak telan ubat pun. Sampai saya rasa badan dia dah penuh ubat :( Lebih malang, ubat tu tak berkesan pun. Saya tak tahu sama ada ubat tu tak serasi dengan dia atau apa. Sejak tu lah, kami cuba rawatan alternatif dan home remedies. Dan sebenarnya, untuk anak di bawah 2 tahun, memang tak boleh dibagi ubat sebarangan tanpa arahan doktor. Tapi kadang-kadang doktor yang bagi ubat macam... hmm. Ibubapa pun kena ada ilmu juga ye. Ambil tahu apa ubat yang doktor bagi. Dan ikut sukatan yang betul. Anak 2 tahun ke bawah sebenarnya ada cara lain untuk merawat sebarang masalah kesihatan selain ubat, melainkan dalam kes-kes yang betul serius atau kecemasan.


Pagi tadi, terbaca artikel oleh The Malaysian Medical Gazette berkenaan Bahaya Ubat Batuk dan Selsema Pada Kanak-kanak.

Antara saranan yang diberikan oleh Mr Mark Cheong (ahli farmasi yang menulis artikel ini) jika anak di bawah 2 tahun mengalami batuk dan selsema adalah:

1. Menggunakan 'mist humidifier' untuk legakan hidung tersumbat dan mudahkan pernafasan
2. Titiskan cecair saline atau semburan saline untuk kekalkan kelembapan rongga hidung dan elak hidung tersumbat
3. Bagi kanak-kanak berusia kurang 1 tahun, hidung yang tersumbat boleh disedut menggunakan picagari 'bulb' berserta atau tanpa titisan saline

Untuk kanak-kanak yang lebih 2 tahun:

1. Ikut arahan pada label ubat semasa beri pada anak
2. Jangan beri melebihi dos yang ditetapkan walaupun tidak nampak perubahan positif (perubahan mengambil masa)
3. Sukatan dilakukan dengan menggunakan sudu penyukat atau picagari untuk lebih tepat. Elak guna sukatan sudu kecil atau sudu besar
4. Elak menggabungkan ubat batuk/selsema yang berlainan tanpa arahan doktor atau ahli farmasi

Jadi, hati-hati ketika menangani anak yang batuk dan selsema. Jangan senang-senang bagi ubat. Dan jangan pula senang-senang bagi home remedies yang kadangkala kurang sesuai. Madu, contohnya, tidak sesuai untuk kanak-kanak kurang 1 tahun, apatah lagi kurang 6 bulan.

Kalau masalah anak berterusan, cepat-cepat jumpa doktor untuk mengelakkan masalah lebih serius. Semoga Allah melindungi anak-anak kita.

===================================================



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...