Kisah Tonsil, Jangkitan dan Batuk

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Bermula kembali episod anak kurang sihat. Bila badan anak panas, suhu naik, memang ibu bapa patut risau dan jangan dibiarkan. Sangat berbahaya lebih-lebih lagi jika anak di bawah 2 tahun.

Sebab tu setiap rumah kena ada termometer. Kat rumah kami pun ada tapi termometer tu kini dah jadi 'mikrofon'. Alahai anak.

Hujung minggu lepas, Fuaad mula batuk-batuk. Dan kebiasaannya, kami bagi dia Nutriferon. Bancuh suku sachet dalam air masak, bagi dia minum. Insya Allah minum konsisten 4-5 hari, akan kurang batuk dan selsema (kalau masa tu diiringi selsema juga). Kali ni pun, bagi juga tapi agaknya selang-selang maka tak kurang batuknya :(

Selain tu, saya cuba juga bagi air madu (setengah sudu teh madu + setengah gelas air) dan sapu dada dan tapak kaki Fuaad dengan minyak bawang putih (2 ulas bawang putih bakar yang dihancurkan + 2 sudu besar minyak kelapa dara). Malam nak tidur, saya pakaikan stokin.

Tapi nampaknya kurang berkesan. Bangun pagi, satu badan Fuaad panas. Terus ke klinik. Mujur ada klinik 24 jam yang dekat dan boleh diharap, doktor ambik suhu 37.7 C. Terus doktor masukkan ubat punggung. Yang saya tahu, ubat punggung selalu digunakan untuk turunkan suhu badan anak dengan cepat. Dan bila doktor check tekak, ada bengkak tonsil sikit.

Memang suami saya dah agak (saya memang selalu blur) yang mungkin tonsil Fuaad bengkak ni. Sebab tu dia kurang selera makan dan minum. Dan asyik merengek je. Tambah-tambah lagi kalau dengan saya. Ada je yang dia membangkang...huhu.

Doktor bagi ubat batuk, ubat demam dan ubat punggung. Agaknya infection kat tekak dia disebabkan virus. Jadi jangan mintak antibiotik pula bila doktor tak bagi sebab tak kena fungsinya. Dan sebolehnya elakkan selalu bagi antibiotik pada anak melainkan keadaan terpaksa (bila keadaan makin teruk). Dan usahakan bagi anak minum banyak air dan turunkan suhu badan dengan basahkan dahi dan kepala sekerap mungkin. Letakkan tuala basah kat dahi. Lapkan badan dia bagi suhu turun.

Ubat batuk - dia langsung tak boleh telan. Terasa kat lidah je, terus muntah. Kalau la ada lolipop melegakan batuk untuk kanak-kanak, lolipop madu ke... senang dia nak kemam-kemam. Kalau sirap batuk macam tu... mintak maaflah.

Hmm. Pagi ni, kepala dan leher je yang panas. Bawah badan hingga ke kaki, normal. Jadi, kami buat hipotesis (ok budak Sains haha) yang mungkin Fuaad salah urat. Biasa salah urat pada budak, bahagian pinggang ke atas - panas, bahagian pinggang ke bawah - sejuk. Dan demam / panasnya on dan off. Fuaad dah pernah beberapa kali jadi macam ni, maklumlah budak lasak main sana sini, tidur pun lasak. Agaknya ada la tu terseliuh ke tergeliat kat mana-mana. Dan tambah lagi tonsil bengkak - memang melepek dia jadinya.

Maka suami saya bawak dia balik ke umah Wan dia, sebab tukang urut yang kami selalu bawak dia duduk dekat sana. Saya tak mengikut sebab ada check up di klinik kesihatan. Sedih je tengok dia terbaring kena urut - mesti nangis. Tapi alhamdulillah suami kata dia makin ok. Makan pun ada selera sikit.

Fuaad memang ada banyak sejarah sakit tekak - jangkitan bakteria, jangkitan virus, Croup - hingga pernah masuk wad. Tapi, ni dah lama dia tak kena. Alhamdulillah. Agaknya dah makin besar (seminggu lagi menginjak 2 tahun), makin besar juga cabaran dia nak bina sistem imun dia ya.

Setiap yang berlaku, menambah ilmu kami suami isteri. Baik dari segi simptom, cara mengawal dan tindakan selanjutnya. Habis korek Google, buku, kawan-kawan yang berpengalaman sama dan kawan-kawan doktor kami rujuk. Elok ada ilmu sikit tentang sakit dan ubat untuk anak. Dan alhamdulillah sejak berkecimpung dengan vitamin dan suplemen, makin banyak kami belajar untuk meningkatkan kesihatan keluarga.

Untuk ibu bapa yang senasib dengan kami (anak tengah kurang sihat), sama-sama kita tabah ya. Semoga Allah kurniakan kesihatan yang baik pada anak-anak kita. Semoga Allah kurniakan kekuatan untuk kita menghadapinya juga. Insya Allah.

*Dah sihat nanti umi bagi makan papadom ye.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...