Salam Aidil Adha yang Tertangguh

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Salam Aidil Adha untuk semua. Belum terlambat lagi kan?

Ada yang ketika ini masih di kampung, yang sudah dalam perjalanan pulang ke bandar semula dan ada yang beraya di rumah sendiri sahaja (tak balik kampung). Saya balik kampung pun sekejap saja, lagipun dekat. Dan hari ni dah balik ke rumah, menguruskan kerja rumah mana yang patut. Kain segunung kena lipat. Satu lagi gunung menanti petang nanti hehe.

Raya korban kami tahun ini ringkas sahaja. Di rumah mertua pun sedikit sunyi sebab ada ipar yang balik ke rumah sebelah keluarga satu lagi. Sunyi jugak Fuaad dibuatnya sebab sepupu-sepupunya tak ada. Dan ada makciknya yang bekerja di hari raya.

Tapi rutin raya macam biasa. Solat raya. Makan raya. Menu mak mertua saya: nasi impit, kuah kacang, lemang, rendang ayam pencen, pulut kuning, nasi lemak. Saya masak mi kuah daging. Aduh naik gula dalam badan macam ni huhu. Kena kawal juga, makan pun beringat-ingat. Semua serba sikit nak juga saya rasa. Alhamdulillah semalam masa buat ujian glukosa darah (adik ipar ada glucometer), bacaan normal. Alhamdulillah.

Pulut, nasi putih, roti putih, makanan bersantan - antara penyumbang dan penyebab diabetes jika tidak dikawal pengambilannya. Jangan kita ingat gula putih, aiskrim, kek, air berkarbonat dan pemanis mulut saja penyebabnya. Sebarang makanan yang berkanji dan mengandungi gula ringkas memang tidak digalakkan. Tapi hmm... itulah yang sedap, kan.

Bagi yang menghidap diabetes atau diabetes ketika mengandung, cuba tukar sumber karbohidrat ringkas kepada karbohidrat kompleks.

Apakah karbohidrat kompleks?
Pilihan karbohidrat yang lebih sihat kerana mengandungi nutrien penyembuh seperti fiber, vitamin, mineral, antioksidan dan phytochemicals. Antioksidan adalah nutrien yang melawan 'radikal bebas' - iaitu molekul tak stabil yang merosakkan sel sihat. Phytochemical adalah bahan yang wujud semula jadi dalam makanan yang membantu melawan penyakit. Contoh makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks: bijirin penuh, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran.
(Foods That Combat Diabetes, 2008)

Berhati-hati dengan makanan anda. Sebab tu kadang-kadang ada yang berdiet tapi tak kurus sebab caranya tak betul. Karbohidrat masih perlu diambil tetapi dengan sukatan yang betul dan daripada sumber yang lebih sihat.

Selamat berkorban!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...