Resipi Nasi Goreng Ekspres

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Bangun pagi ini, teringat banyak lagi nasi dalam periuk yang berbaki. Rugi dan membazirnya kalau buang macam tu saja. Jadi, apa lagi... nasi gorenglah jawabnya.

Tapi dek kerana kesuntukan masa nak pergi kerja lagi, maka yang jadi adalah Nasi Goreng Ekspres yang amat ringkas dan siap dalam 15 minit sahaja!

Sebenarnya resipi ni turun-temurun daripada arwah mak saya. Dan saya memang suka nasi goreng ni sampai sekarang.

Jom tengok bahan dan cara nak buat Nasi Goreng Ekspres ni:

Bahan-bahan:
Nasi putih
3 ulas bawang putih (hiris)
1/2 genggam ikan bilis kopek
1 kiub pati ikan bilis
2 tangkai daun bawang
2 biji telur
Minyak untuk menumis
Secubit garam bukit

Cara masak:
1. Gembur-gemburkan nasi, biarkan.
2. Panaskan minyak, goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
3. Pecahkan telur, goreng hancur. Angkat dan ketepikan juga.
4. Menggunakan minyak yang berbaki, tumis bawang putih hingga wangi.
5. Masukkan nasi dan gaul rata.
6. Larutkan kiub pati ikan bilis dengan sedikit air. Tuang dalam nasi dan kacau sebati.
7. Masukkan ikan bilis goreng dan telur hancur dan gaulkan. Tambah garam secubit.
8. Potong daun bawang (lagi cepat dengan gunting) dan hiaskan / kacau dalam nasi.
9. Dah siap!
10. Masukkan dalam bekas tapau masing-masing :)

Tadaaa. Kan dah siap Nasi Goreng Ekspres. Itulah sarapan kami anak beranak pagi ini. Saya dan suami seorang sebekas dibawa ke pejabat dan sebekas lagi bekal anak ke taska. Suami kata sedap. Kembang semangkuk la saya hehe. Agaknya sebab resipi mak kan. Walaupun sekadar nasi goreng tapi tetap penuh kasih sayang. Cuba lah ye!


==================================

Miliki kedai online anda sendiri melalui Pakej Mampu Milik oleh Akademi Bekerja Di Rumah.
Ketahui cara dengan menghubungi:
Hifzaila Hafni
PM/ Whatsapp 019-4603094
Emel hifzaila.hafni@gmail.com

Beli pek mudah masak Nasi Arab Al-Bayt:
http://hif-onlinestore.blogspot.com

Menempah cotton candy/pop corn untuk sebarang majlis:
http://gulakapasshariz.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...