Resipi Sarapan: Lempeng Oat

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Bersarapan lempeng oat pagi semalam. Selalu buat lempeng biasa saja cuma terfikir macamana nak manfaatkan sebalang besar oat yang dah dibeli. Niat untuk amalkan pemakanan lebih sihat, gitu.

Selain daripada dijadikan minuman, oat juga boleh dipelbagaikan cara pengambilannya. Ada yang menyalut makanan yang ingin digoreng dengan oat untuk hasil gorengan yang lebih rangup dan berkhasiat. Ada yang membuat biskut. Kali ni saya cuba masukkan oat dalam lempeng.

Mulanya guna Google juga untuk pastikan resipi, tetapi lepas tu gabungkan saja resipi yang saya jumpa berdasarkan bahan yang ada di rumah.

Ini resipi lempeng oat versi saya.

Bahan-bahan:
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan oat segera
1 biji telur
1/2 cawan susu segar / rendah lemak
1 1/2 cawan air
1 sudu besar minyak masak
Sedikit garam
Sedikit mentega

Cara masak:
1. Bancuh tepung dengan air. Air dimasukkan sedikit demi sedikit.
2. Masukkan oat, telur yang telah dipukul dan susu.
3. Kacau sebati dan pastikan bancuhan tidak berketul.
4. Masukkan minyak dan garam. Gaul sebati.
5. Bancuhan perlu cair sedikit supaya lempeng tak terlalu padat dan keras.
6. Panaskan kuali non-stick.
7. Lengserkan sedikit mentega dalam kuali dan tuang 1 senduk bancuhan tepung. Ratakan.
8. Biarkan masak barulah dibalikkan.
9. Masak dalam 2-3 minit, kemudian boleh diangkat.
10. Hidang bersama madu.

Selain madu, boleh guna sirap mapel atau coklat, mentega kacang atau serunding. Terpulang mengikut selera masing-masing.

Selamat mencuba!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...