Resipi Ikan Kembung Masam Manis

Teks & Foto: Hifzaila Hafni

Hari cuti seperti semalam selalunya saya masak di rumah. Maklum lah hari bekerja kadang-kadang terkekang dengan masa, jadi bila cuti begini barulah berpeluang nak masak untuk keluarga.

Hari ni macam biasa, saya masak resipi yang ringkas dan mudah saja. Ikan kembung masam manis dan sup cendawan dengan karot. Memang sekejap je dah siap.

Resipinya mudah saja, kalau sesiapa ingin cuba.

Ikan Kembung Masam Manis

Bahan-bahan

3 ekor ikan kembung - diperap dengan garam dan kunyit
1 sudu besar cili giling
2 biji bawang merah - dimayang
3 ulas bawang putih - dihiris
1/2 inci halia - dihiris
2 sudu besar sos pedas manis ABC
1 sudu besar sos tiram
1/2 biji tomato - dipotong baji
Minyak untuk menggoreng

Cara masak

1. Goreng ikan hingga garing. Ketepikan.
2. Kurangkan minyak goreng ikan tadi hingga cukup untuk menumis sahaja.
3. Tumis bawang merah dan putih serta halia hingga layu dan naik bau.
4. Masukkan cili giling. Tumis hingga garing.
5. Masukkan sos pedas manis dan sos tiram. Masukkan sedikit air.
6. Biar mendidih sebentar.
7. Masukkan tomato.
8. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi. Gaul rata kuah sos dengan ikan.
9. Hidangkan. Tabur daun bawang atau daun sup jika ada.
Senang, kan. Sos pedas manis kalau tak ada boleh ganti dengan sos cili dan sos tomato. Ok je.

Resipi sup cendawan karot saya akan kongsikan nanti ya. Atau boleh check resipi Sup Petola Cendawan di label Resipi :)

Selamat memasak!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...