Pentingnya Ilmu Keibubapaan untuk Ibu Bapa Moden

Teks: Hifzaila Hafni

Apabila anak menginjak hampir 2 tahun, semakin membesar, semakin bijak (semakin banyak akal kita selalu kata) dan semakin aktif - sebenarnya tempoh masa inilah yang lebih mencabar berbanding semasa anak masih peringkat bayi. Sebabnya, anak sudah mula memahami segala percakapan, tingkah laku dan perbuatan yang dilakukan oleh orang di sekelilingnya. Anak juga sudah mula pandai mempamerkan perasaannya sama ada gembira, marah atau cemburu.

Kalau diikutkan, setiap peringkat umur anak pun ada cabaran untuk ibu bapa hadapi. Yang penting, ibu bapa kena peka dan memantau perkembangan anak. Pantau dan ikuti perkembangan anak ni penting sebab kita perlu pastikan anak kita membesar dengan baik dan normal. Kalau ada apa-apa masalah, kita boleh atasi daripada awal.

Fuaad dulu, lambat berjalan. Risau saya dan suami. Iyalah budak lain sebaya dia kebanyakan dah boleh berjalan. Dia baru mula berjalan pada usia 1 tahun 5 bulan. Itu normal selagi belum mencecah umur 1 tahun 6 bulan. Kalau lebih daripada itu, kena buat pemeriksaan kalau ada apa-apa masalah perkembangan tulang ke, otot ke atau masalah-masalah lain.

Alhamdulillah, akhirnya dia berjalan dan sekarang ni bukan main seronok berlari. Rupanya ada hikmahnya bila budak merangkak dalam tempoh yang lama. Saya pernah baca, budak ini lebih cerdik (atau genius) mindanya. Dan bila lama merangkak, otot kakinya lebih kuat. Patut lah sejak boleh berjalan, Fuaad alhamdulillah memang kuat kakinya dan kuat pula tu berjalan! Wallahua'lam.

Yang penting, dia sihat.

Kalau sebelum ni, banyak baca buku tentang perkembangan fizikal dan kesihatan bayi, sekarang nampaknya dah perlu beralih ke satu lagi topik - Keibubapaan atau Parenting.

Tak mudah nak mendidik anak zaman sekarang. Lain zaman, lain didikannya. Cuma ibu bapa sendiri pun kena siapkan diri dengan ilmu sebab budak-budak sekarang cepat belajar. Memang mencabar. Kena banyak membaca dan bertanya pada yang lebih tahu.

Saya anak baru seorang pun dah rasa hilang kawalan dan terkapai-kapai. Betul kata orang, ibu beranak satu kena belajar dengan ibu beranak dua dan seterusnya. Jangan belajar dengan orang yang masih belum ada anak pula. Cabarannya berbeza. Tapi apa pun anaklah harta paling bernilai dan amanah daripada Allah. Peliharalah mereka sebaik-baiknya.

Semoga anak-anak kita sentiasa mendoakan kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...