Resipi Nasi Goreng Kurma & Sup Petola Cendawan

Ahad lepas, encik suami minta ikut resipi ni setelah jenuh beliau menyelak buku masakan. Menarik juga, tak pernah terfikir dan terlintas pun nak guna rempah kurma dalam nasi goreng. Sebab tu teruja nak cuba. Selain tu menu ni, anak bujang kami pun boleh makan sekali.

Kedua-dua menu dipilih encik suami. Gandingan yang serasi. Nasi goreng dan sup.

Jom cuba buat resipi ni. Sesuai untuk hidangan berbuka atau pun sahur.

Nasi Goreng Kurma

Bahan-bahan:
2 cawan nasi sejuk
2 keping daging burger Darabif - dipotong dadu
1 biji bawang besar - dihiris
1 sudu besar cili giling
1 sudu besar rempah kurma
1/2 batang karot
3 sudu besar pure olive oil
Garam dan sedikit lada sulah

Cara-cara:
1. Gembur-gemburkan nasi sejuk dan taburkan garam. Kacau sebati. Ketepikan.
2. Goreng daging burger sekejap. Juga ketepikan.
3. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang besar hingga layu.
4. Masukkan cili giling. Tumis sekejap.
5. Masukkan serbuk kurma. Tumis hingga garing dan sebati. Hati-hati jangan sampai hangus.
6. Masukkan daging burger. Kacaukan. Tabur lada sulah sedikit.
7. Masukkan karot. Kacaukan hingga karot sedikit lembut.
8. Masukkan nasi. Gaul rata.
9. Sedia untuk dihidang.

Sup Petola Cendawan

Bahan-bahan:
1/2 batang petola - kupas kulit sikit dan dipotong
1/4 peket cendawan tiram - dicarik
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 biji telur
1/4 genggam ikan bilis -dicincang/ditumbuk
1 sudu besar pure olive oil
Garam dan sedikit serbuk lada hitam

Cara masak:
1. Panaskan minyak dan tumis ikan bilis hingga garing.
2. Masukkan bawang besar dan bawang putih. Tumis hingga layu.
3. Masukkan air. Agak-agak cukup untuk kuah. Kalau suka sup pekat, air sikit. Kalau suka berkuah, lebihkan air.
4. Biar mendidih. Masukkan petola. Masak hingga petola lembut.
5. Masukkan garam dan serbuk lada hitam sikit.
6. Pecahkan telur ke dalam sup. Jangan dikacau. Biar telur masak dahulu. Kemudian kacau perlahan saja.
7. Masukkan cendawan. Biar mendidih sikit lagi. Tutup api. Cendawan masak sekejap saja.
8. Hidangkan. Kalau ada bawang goreng, boleh taburkan.

Sekian menu ringkas untuk keluarga.  Juga menyihatkan untuk anak. Silakan mencuba!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...