Rezeki itu Jaminan Allah

Teks: Hifzaila Hafni

Ibu bekerjaya dan ibu yang bekerja di rumah, sebenarnya ada persamaan bebanan kerjanya cuma dari perspektif yang berbeza. Dan kedua-duanya, jika tak diuruskan dengan betul, sama-sama boleh memberikan tekanan dan stres. Tapi, yang bezanya, ibu bekerjaya berhubung dengan agenda pejabat, orang-orang pejabat dan majikan. Ibu bekerja di rumah berhubung terus dengan rumah, keluarga dan mungkin majikan atau pelanggan tapi mungkin hati lebih tenang. Mungkin ya. Bukan dijamin.

Bila kerja hakiki memerlukan tenaga dan masa anda dikerah hingga perlu difikirkan pembahagian masa dengan keluarga, saya kira saya sudah tak sanggup nak hadapi semua itu. Dibandingkan semasa bujang, cabaran begini memang ditunggu-tunggu, yang mana inilah masa untuk mencabar diri dan membuktikan kita sebenarnya boleh. Tapi, keadaan dah berubah dan menjadi ibu yang terpaksa mengambil anak lewat di taska dan terpaksa berperang dengan perasaan sendiri membahagikan masa dan tenaga - saya memang tak sanggup untuk menjadi seperti itu lebih lama lagi. 

Ya, keadaan sibuk begini tak selalu, tapi kita tak tahu bila akan berulang lagi dan bila tiba waktu itu kita sendiri tak pasti sama ada kita masih mampu nak hadapi. 

Memang rasa 'down' tapi seperti suami selalu ingatkan: Kita perlu bersabar dengan apa yang kita ada, sebelum kita nak dapat apa yang kita tak ada.

Kadang-kadang fikir sampai bila nak bekerja makan gaji dan bekerja di bawah orang, tapi buat sementara waktu ini, bersabarlah dulu. Tapi, dalam masa yang sama membina tapak berniaga, meluaskan networking dan belajar selok-belok berbisnes secara online dan offline. Cari maklumat, info dan pengetahuan. Belajar dari pengalaman. 

Saya yakin dengan diri saya. Saya yakin saya boleh mencari rezeki Allah walaupun tanpa bekerja 9-5 seperti sekarang. Saya yakin rezeki tetap ada untuk kami sekeluarga. Mohon Allah kuatkan hati saya dan suami untuk teruskan apa yang dah kami mulakan. Insya Allah.


Semoga hari kita lebih baik hari ini berbanding semalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...