Merancang Pemakanan Bajet di Rumah

Teks: Hifzaila Hafni

Pemakanan yang seimbang penting dalam diet seharian sama ada bagi orang dewasa atau kanak-kanak. Dengan harga barang yang semakin mahal, mampukah kita mendapat kebanyakan nutrien dalam diet harian kita dengan bajet yang kecil atau terhad?

Ya. Kita masih mampu mendapat segala nutrien yang perlu, sebab banyak sumber khasiat yang kita boleh peroleh walaupun dengan bajet yang terhad. Cuma kita perlu bijak memilih dan membuat perancangan.

sxc.hu


Merancang Pemakanan Bajet di Rumah

1. Rancang apa yang kita akan makan di rumah sepanjang minggu. 
Lazimnya, kita membeli barang keperluan dapur dan barang basah sekali seminggu. Keadaan biasa bagi kebanyakan ibu bekerjaya. Anda boleh merancang apa menu yang nak disediakan di rumah sepanjang minggu berkenaan. Jadi, kita hanya akan beli bahan yang terlibat untuk minggu itu sahaja.

2. Merancang berapa banyak yang kita akan masak, untuk hidangan berapa orang.
Ini pun penting, untuk mengelakkan pembaziran. Kita boleh anggarkan berapa banyak yang kita perlu masak setiap hari, berapa banyak bahan basah/kering yang kita perlukan dan berapa bilangan ahli keluarga. Kadang-kadang kita beli terlalu banyak, kesudahannya berlebihan dan berakhir di tong sampah kerana tidak dimasak. Amalkan beli apa yang perlu dan mencukupi sahaja.

3. Tentukan tempat nak membeli.
Dengan kebanjiran pasar raya, pasar basah dan kedai runcit, kita pilih dan tentukan tempat yang kita nak membeli. Amalkan membanding harga dan kualiti barang di tempat yang berlainan. Kalau kita rajin mencari atau membanding, kita akan dapat tempat yang menjual barang yang berkualiti tapi dengan harga yang lebih murah. Buat perbandingan bijak. Biar ianya Tesco, Giant, Hero, Econsave, 99 Speedmart atau apa saja. Lebih baik kalau kita tahu barang yang dipromosi setiap bulan di pasar raya yang berdekatan. Mudah kita merancang dan membeli sewaktu promosi. Tentu lebih jimat, bukan?

4. Membeli barang yang berada dalam musim.
Selalunya merujuk kepada buah-buahan dan sayur-sayuran. Bila musim sejenis buah tertentu, maka akan banyaklah buah jenis itu. Jadi harga akan jadi lebih murah, dan berbaloi kita membeli. Jika beli di luar musim, permintaan tinggi tapi pengeluaran kurang, harga menjadi mahal. Jadi, kalau bukan dalam situasi kecemasan atau kurang perlu, kita boleh tunggu musimnya tiba, baru beli.

5. Cuba makanan dalam tin atau beku.
Pilihan begini kena dibuat dengan bijak, sebab makanan diproses tidak baik untuk diambil selalu. Tapi sangat praktikal untuk buat stok di rumah. Contohnya sardin atau tuna dalam tin, kacang panggang atau jagung krim dalam tin. Ikan, daging dan ayam beku juga makin mudah didapati dan lebih murah. Cuma mungkin rasanya tentulah tak sama dengan yang segar.

6. Fokuskan pada makanan yang mempunyai kos lebih rendah tetapi berkhasiat.
Kita selalu beranggapan makanan yang lebih mahal mempunyai khasiat yang lebih tinggi, tidak semestinya. Boleh cuba cari resipi atau menu yang menggunakan bahan-bahan yang lebih murah tetapi kita masih tetap mendapat khasiat yang sama. Contohnya menu yang menggunakan kekacang sebagai protein (sumber tumbuhan), keledek menggantikan kentang, salmon dan tuna menggantikan ikan lain. Untuk sumber protein, boleh selang-selikan dengan protein daripada haiwan juga, seperti daging, ikan dan ayam.

7. Menyediakan sendiri snek sihat di rumah.
Snek perlu diambil tapi pastikan yang sihat. Buah-buahan kering, yogurt beku, bijirin...boleh dicampurkan boleh dijadikan snek yang menyihatkan untuk anak. Lebih mengenyangkan dan lebih jimat jika kita dapat beli dalam kuantiti yang banyak. Makanan begini jangka hayat pun lebih lama.

8. Kurangkan makan di luar, lebihkan memasak di rumah.
Ini memang kita sedia maklum, kos makan di luar lebih tinggi berbanding makan di rumah. Jadi, cuba sediakan makanan di rumah semampu kita, untuk mengurangkan kos bulanan kita untuk makanan dan belanja dapur. Hubungan kekeluargaan lebih erat dan mesra dan ibu boleh mengasah bakat memasak juga. Anak pun mudah kita uruskan bila makan di rumah. Ibu boleh memilih rencah atau pek masakan yang mudah disediakan di rumah, yang tak mengambil masa yang lama untuk disediakan. Contohnya pes asam pedas, perencah nasi goreng dan pes nasi beriani. Proses memasak menjadi lebih mudah dan cepat.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...