Bersalin di Swasta atau Kerajaan?

Kos mendapatkan rawatan di hospital dan klinik swasta meningkat mendadak.

Tajuk muka depan satu akhbar utama semalam.

Fokus hanya pada kos rawatan bersalin sajalah ya. Yang lain-lain, sakit kepala, demam atau selsema masih boleh diterima walaupun naik juga harganya tapi yang menjadi keresahan ibu-ibu (dan bapa-bapa juga) adalah harga yang perlu dibayar ketika bersalin.

Sampaikan tajuk akhbar memetik bahawa sakit membayar bil lebih lagi daripada sakit melahirkan. Ada benar di situ.

Kos melahirkan seorang anak kini, memang menuntut ibu bapa menyediakan jumlah wang yang agak besar jika memilih bersalin di hospital swasta. 

Belum dikira kos pasca kelahiran lagi.

Ya, sewaktu menanggung sakit nak melahirkan, semua ibu mahukan persekitaran hospital yang selesa dan tenang. Juga suami yang boleh menemani sepanjang kesakitan itu. Siapa yang mahukan keadaan yang bising, panas, bersempit-sempitan seperti sesetengah hospital kerajaan? Tambah lagi sewaktu menunggu waktu bersalin. Antara hidup dengan mati. 

Tetapi, tidak semua ibu atau bapa mampu menanggung kos rawatan bersalin di hospital swasta. Ibu-ibu kena redha dan berserah kepada Allah dan sangat-sangat tabah jika terpaksa memilih hospital kerajaan. 

Kos rawatan bersalin di hospital kerajaan jauh lebih murah dan tidak membebankan. Cuma ibu kena banyak bersabar. Sangat-sangat perlu bersabar. 

Pengalaman saya bersalin di salah satu hospital yang terkenal dengan kepadatan pesakitnya, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, memang takkan dapat dilupakan sampai bila-bila. 

Biarpun dengan pelbagai momokan tentang HTAR, suami dan saya tetap memilih untuk ke sana atas faktor jarak. Hanya 10 minit dari rumah dan kos yang kami mampu. Alhamdulillah saya selamat melahirkan anak pertama di situ dengan disambut oleh doktor Muslim perempuan. Itu sahaja yang saya syukuri sangat-sangat. 

Pengalaman semasa di wad, semasa di dewan bersalin, semasa melahirkan, selepas melahirkan...insya Allah saya kongsikan nanti bila kelapangan.

Biar apapun pilihan, terpulang mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing. Bersalin di hospital swasta atau kerajaan, sama-sama ada pro dan kontranya.

Hospital Shah Alam. Dijangka dibuka Jun 2014.
Kredit: thestar.com.my



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...