Hikmah Catuan Air

Akhirnya, kawasan rumah saya termasuk dalam zon catuan air peringkat ketiga. Bermula semalam dan berakhir hari ini, dan akan disambung bekalan air semula hari Rabu.

Kredit: sxc.hu

Untuk maklumat lanjut tentang gangguan atau catuan bekalan air, rujuk laman Syabas di sini.

Suami dah tadah dan simpan dua tong air. Tapi, untuk tujuan masak dan minum, saya akan guna air tapis yang ada dan air mineral yang suami sempat beli semalam. 

Taska anak saya memang dah tiada air sejak petang semalam. Rumah saya, alhamdulillah, sehingga ke pagi ini, masih ada. Mungkin air tangki kot. Apapun, suami tetap ingatkan supaya basuh baju siap-siap semalam, sementara air masih ada. Dan pagi ini, saya masak untuk makan malam sekaligus takut-takut balik nanti air memang betul-betul dah tak ada.

Sebab masa yang terhad di waktu pagi, saya cuma masak sambal sardin (untuk saya dan suami) dan sup sawi untuk anak. Balik nanti, cuma nak gorengkan filet ikan.

Menu mudah saja ya. 15 ke 20 minit dah pun siap.

Nasi pun saya dah masak sebelum mula masak lauk. Jadi, balik nanti cuma panaskan saja.

Untuk mendisiplinkan diri masak pagi-pagi memang tak mudah bagi saya. Tapi bila dapat buat satu hari, saya jadi seronok sebab mengenangkan balik kerja nanti, saya banyak masa nak layan anak saya daripada sibuk di dapur. Nampaknya itulah hikmah catuan air ya. 

Dan bila makanan dah ada, anak saya dapat makan awal sikit. Kalau tak, lambat menunggu saya masak, lambat makan dia. 

Macam pagi ini, sambal sardin, seperti yang kita tahu memang mudah sangat nak masaknya. Bawang putih dan bawang merah dah saya chopped dan simpan dalam bekas, dan disimpan dalam peti sejuk. Cili yang nak ditumis, saya guna cili giling Puteri (yang dah siap dimasukkan garam dan asam). 

Jadi, cuma tumis bawang, tumis cili hingga garing, masukkan sardin dengan sos tomatonya sekali. Cuma tambah gula kalau rasa terlalu masam atau pedas. Kalau ada masa, boleh masukkan bawang besar yang dipotong bulat. Dan kalau nak pedas lagi, masukkan cili padi (sama ada dikisar/dicincang bersama bawang atau diketuk/dihiris nipis). Kacau-kacau. Dah pun siap.

Sementara itu, saya dah panaskan air dalam periuk. Sup sawi kali ini saya tak tumis, cuma rebus. Masukkan bawang putih dan bawang merah, serta ikan bilis. Biarkan mendidih. Kemudian masukkan sawi. Perasakan garam dan lada sulah. Masukkan tomato atau lobak merah. Dah siap.

Sebenarnya, lebih mudah dan praktikal dapat masak di awal pagi, sebab dapat kurangkan kerja bila dah balik rumah petang nanti. Cuma nak bangun awal daripada biasa tu saja yang mencabar sikit :)

Kredit: sxc.hu


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...