Cabaran Penyusuan: Cerita Saya

Doktor diagnos keadaan anak saya yang dok batuk berkahak hari tu sebagai acute bronchitis. Seram dengar, dah la untuk budak setahun 3 bulan. Tapi, itulah hakikatnya.

Dah berlalu episod mengewap saluran pernafasannya dengan ubat. Klinik pinjamkan nebuliser untuk diwap di rumah minggu lepas. Jadi, bertambahlah ilmu baru untuk saya dan suami - ilmu mengewap hidung dan mulut anak dengan menggunakan nebuliser.

Walaupun meronta-ronta tapi ada masa dia dok diam sedut asap tu. Kesian juga kena peluk kuat-kuat, panas (maklum la wap), habis berpeluh sebab masa tengah wap tak boleh buka kipas.

Walaupun dalam keadaannya macam itu, dia sangat aktif main. Berselera juga makan. Alhamdulillah.

Cuma sekarang ni, dia suka makan sikit-sikit, macam-macam jenis, berulang-ulang. Bubur nasi, nasi putih, bahulu, wafel, sup, bijirin...apa sahaja. Kalau suka, dia minta lagi...'nak, nak'...kalau tak suka, dia luahkan lepas tu sambung main.

Kadang putus idea juga nak hidang apa untuk dia. Paling mudah supaya dia tak lapar, saya dan suami akan cuba bagi buah. Tapi kadang-kadang dia dah cukup kenyang minum susu dan menyusu.

Anak-anak yang di bawah umur 2 tahun, masih lagi perlu disusukan bagi ibu yang berkemampuan. Memang tak semua ibu mampu. Saya terpaksa mengaku yang tuntutan menyusu bayi memang tak mudah. Tapi tak sukar juga jika kena caranya. Cuma perlu ketahanan yang tinggi, perlu tabah. Saya juga pernah melalui episod kurang susu, puting luka, susu yang terhasil kurang zat...agaknya sebab stres dan penat, mempengaruhi penghasilan susu.

Nak hasilkan susu yang banyak, perlu makan dengan seimbang dan cukup, perlu bertenang dan rasa seronok. Kalau tidak, memang susu merudum. Susu akan jadi banyak bila kita makan makanan yang kita suka, atau semasa kita gembira. Tapi kita tak selalu begitu, maka itulah cabarannya.

Saya masih lagi meneruskan penyusuan selagi anak saya nak. Saya juga cuba semampu saya walaupun ada masa memang saya amat penat. Tapi itulah nama pengorbanan. Dia pula sekarang bijak pilih botol atau nenen. Siap tunjuk lagi kat dada kita, dia nak nenen, bukan susu botol.

Selain banyak khasiat dalam susu ibu yang amat baik untuk perkembangan bayi, aktiviti penyusuan dapat memberikan satu bonding antara ibu dengan anak. Dan apa yang kita rasa semasa menyusukannya, boleh mempengaruhi dia juga. Jadi, usahakan supaya berfikir dan bercakap yang baik-baik semasa menyusu. Saya pun mencuba juga, cuma kadang-kadang terbabas juga :(

Saya amat kurang ilmu tentang penyusuan sewaktu mula-mula bersalin. Saya tak pernah sangka penyusuan boleh jadi begitu rumit. Mungkin bahagian saya agaknya, Allah nak uji. Selepas melahirkan, setitik pun tak keluar. Dan saya tak tahu pun rupanya anak saya tak dapat setitik pun selepas pertama kali dia menghisap. Saya beranggapan dia dah hisap, dan kenyang kemudian tidur. Rupanya salah. Saya yang salah sangka. Walaupun dengan daya hisapannya yang kuat itu, belum mampu mengeluarkan puting susu yang tenggelam. Saya tak sedar hal ini hinggalah dah balik ke rumah, dan malam pertama di rumah, anak saya menangis kelaparan. Bila mak mertua dan kakak ipar nak ajar cara menyusu, baru saya tahu rupanya saya ada masalah inverted nipple, patut la susu tak keluar.

Itulah masa yang paling sedih bila diingat kembali. Saya rasa sangat bersalah pada anak. Makanan pertama yang masuk dalam perutnya bukanlah susu umminya.

Sebab itu, anak saya kena jaundis hingga ditahan di wad. Dan saya masih tak boleh keluarkan susu. Tahap stres waktu itu memang tinggi, dengan sakit pedih luka jahitan. Saya terpaksa mengalah tengok anak saya minum susu formula di awal hari-harinya melihat dunia.

Tapi, lepas tu, saya memang nekad nak menyusukan juga walau macamana sekalipun. Saya pergi berurut, alhamdulillah lepas tu keluar susu walau sikit. Usaha mengepam juga walaupun hanya dapat tiga titik dalam setengah jam. Akhir sekali, cuba makan suplemen membanyakkan susu. Alhamdulillah ada sikit walaupun tidaklah memancut, mencurah atau meriah. Saya tak boleh bayangkan keadaan normal susu badan yang banyak sebab saya tak pernah alaminya.

Hinggalah suatu masa, saya dah balik rumah sendiri. Saya memang bekerja dari rumah waktu tu. Dan saya masak apa yang saya suka makan. Saya rehat bila saya penat. Alhamdulillah waktu tu susu badan bertambah. Dan akhirnya pada usia 3 bulan setengah, anak saya menyusu badan sepenuhnya hinggalah hampir 10 bulan.

Tapi, sepanjang 3 bulan terawal itu, hari-hari saya paksa dia hisap. Saya cuba ajar dia hisap sampai boleh. Lama-lama dengan kekuatan daya hisap dia tu, semakin hari puting susu mula keluar sepenuhnya.

Saya amat bersyukur Allah beri peluang saya menyusukan anak walaupun terlambat. Walaupun melalui bermacam-macam episod sukar, tapi di sepanjang tempoh menyusu ni, banyak yang saya belajar dan banyak juga yang saya dan suami korbankan. Saya juga cuba ambil makanan tambahan untuk mengalakkan penghasilan susu. Alhamdulillah, menjadi juga.

Susu ibu, tak semua ibu berpeluang nak bagi pada anak. Mungkin disebabkan penyakit atau masalah kesihatan yang lain. Tetapi, kebanyakannya mampu beri. Cubalah beri, anak mesti tak menolak.

Kalau dia menolak, mungkin ada faktor lain. Keliru puting atau cara lekapan tak betul. Semua ilmu ni ibu kena belajar, banyak membaca dan bertanya. Saya pun bukanlah pandai benar cuma kongsi pengalaman sendiri sahaja.

Nak menyusu, faktor terpenting - ibu sendiri. Jika penuh sokongan atau cukup kelengkapan sekalipun, jika ibu sendiri tak sanggup atau tak mahu, memang tak menjadi.

Tak mampu banyak, sikit pun tak apa asalkan ada. Usahakanlah.

Susu ibu. Titisan emas yang Allah jadikan. Mahal harganya pada anak.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...