Sup Kobis Panjang dan Lobak Merah

#prayformh370


Kredit: weheartit.com


Doa dan harapan pada pesawat MAS yang masih tidak diketahui untung nasibnya. Semoga Allah lindungi semua mangsa yang terlibat, dan memberi kekuatan kepada ahli keluarga mangsa yang menanti.

Walaupun dengan pelbagai spekulasi, tohmahan atau teori...kita hanya mengharapkan yang terbaik.

Allah Maha Kuasa.

Oklah, kembali kepada resipi.

Kadang-kadang saya dah habis idea nak beli sayur apa. Asyik ulang sayur yang sama. Kalau ikutkan saya, sawi mesti nak ada stok sebab selain masak tumis air, sawi boleh masuk dalam banyak hidangan macam mi kari, bihun sup atau koay teow goreng.

Tapi, suami saya tak suka sangat sawi. Jadinya, hari tu ke pasar borong Checkers di Shah Alam, saya tengok kobis panjang. Macam dah lama tak makan kobis panjang. Sedap juga dibuat tumis air atau sup.

Maka, inilah hasilnya. Sup kobis panjang dan lobak merah.


Sup kobis panjang dan lobak merah

Sup ini adalah salah satu hidangan yang sangat praktikal untuk ibu nak cuba. Mudah dan tak banyak kerenah. 

Sup Kobis Panjang dengan Lobak Merah

Bahan-bahan

Kobis panjang (dipotong, batang yang hujung boleh dibelah dua kalau terlalu besar)
Lobak merah (dipotong panjang atau bulat)
Stok / Air rebusan ayam
Daun bawang
Garam
Lada sulah

Cara nak masak

1. Masukkan stok ayam dalam periuk dan didihkan. Kalau stok pekat, masukkan air.
2. Bila dah mendidih, masukkan lobak merah dan kobis.
3. Rebus hingga sayur-sayur lembut. 
4. Perasakan dengan garam dan lada sulah.
5. Taburkan daun bawang (atau daun sup).
6. Siap untuk dihirup kuahnya :)

Kalau ada kesempatan hujung minggu, saya sediakan stok ayam. Sebab mudah nak masak sup. Anak saya bila ada sup atau hidangan berkuah ni, laju sikit makan. Untuk elakkan guna banyak serbuk perasa atau kiub pati, saya ganti dengan stok macam ni. 

Petua dapur: Sayur-sayuran yang keras macam lobak merah, lobak putih, kobis bunga, saderi -- boleh dihiris nipis atau dipotong kecil supaya lebih cepat masak, dan mudah anak kecil nak makan.